Kesejahteraan Keluarga Bermula Dari Si Ibu...

Lilypie Fifth Birthday tickers
Lilypie Third Birthday tickers
Lilypie First Birthday tickers

Wednesday 15 July 2015

Haram Merancang Kelahiran...



Haram Merancang Kelahiran Jika Menggunakan Kaedah Menggugurkan Janin

Artikel dipetik dari akhbar Utusan Malaysia, 2005









MUKADIMAH
Pada masa ini terdapat kira-kira 40 peratus kehamilan tidak dikehendaki berlaku setiap tahun yang mana daripada jumlah ini 60 peratus akan digugurkan sama ada secara haram ataupun tidak.

Pengguguran juga dilakukan untuk pemilihan jantina yang mana sekiranya janin yang dikandung bukan jantina yang dikehendaki, janin ini akan dibuang atau digugurkan.
Statistik dunia mendapati janin perempuan lebih banyak digugurkan daripada janin lelaki.
Pada masa yang sama pengguguran sudah menjadi satu trend di kalangan wanita muda yang enggan mengandung kerana tidak mahu dibebani masalah menjaga anak, bimbang bentuk badan berubah dan sebagainya.
Wartawan ROSMAH DAIN mengupas permasalahan ini untuk iktibar bersama. Gambar dirakamkan SAIFUL NIZAM BAHARI.
Apabila bercakap tentang aktiviti pengguguran haram, tidak dinafikan ia semakin berleluasa di negara ini. Biarpun kaedah yang digunakan menyakitkan dan boleh mengundang maut serta salah di sisi undang-undang, kebanyakan wanita yang terdesak sanggup mengharunginya.
Biasanya, pengguguran haram banyak dilaporkan dilakukan oleh golongan remaja atau wanita yang hamil akibat melakukan hubungan haram.
Meluas
Tetapi sedarkah kita bahawa sebenarnya ramai di kalangan wanita yang bersuami juga melakukan pengguguran kerana tidak mahu zuriat yang dikandung.
Menurut Pakar Sakit Puan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Harlina Halizah Siraj, kaedah pengguguran di kalangan wanita yang telah bersuami telah dijadikan sebagai cara untuk merancang keluarga.
Menurutnya, keadaan ini tidak dapat dilihat dengan meluas di negara ini kerana ia dilakukan dalam keadaan tersembunyi, tambahan pula pengguguran haram bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara.
``Pengguguran hanya diunjurkan sekiranya melibatkan keselamatan nyawa ibu yang terancam akibat kehamilan.
``Itupun hanya setelah mendapatkan pengesahan dua pakar yang bertauliah, barulah prosedur pengguguran itu dijalankan ketika usia kehamilan masih awal lagi iaitu sebelum empat bulan,'' katanya.
Harlina Halizah berkata, setiap kali berlakunya pengguguran ia boleh mengancam nyawa si ibu.
Ia juga merupakan satu kaedah yang kurang sesuai digunakan sebagai kaedah merancang keluarga.
Katanya, terdapat beberapa komplikasi yang akan dihadapi oleh si ibu akibat pengguguran yang tidak diawasi doktor yang bertauliah.
Antaranya, pendarahan yang tidak terkawal, mengundang kecederaan kepada organ seperti rahim dan pangkal rahim, serta boleh mengakibatkan kematian.
Selain itu, ia juga boleh mengakibatkan jangkitan kuman yang teruk pada rahim, yang menyebabkan
masalah ketidaksuburan berlaku selepas itu.
Akibatnya, pada masa akan datang sekiranya pasangan suami isteri ini ingin mempunyai anak, wanita ini didapati sukar untuk mengandung lagi.
``Sekiranya suami isteri mengetahui mengenai masalah yang bakal dihadapi, sudah tentu mereka akan lebih berhati-hati sekiranya hendak merancang kehamilan.
``Dalam teknologi perubatan, kita mempunyai berbagai-bagai kaedah merancang keluarga yang boleh digunakan dengan selamat dan bukannya memilih kaedah untuk menggugurkan janin dalam usaha merancang keluarga,'' katanya.
Harlina Halizah menambah, kebanyakan negara Barat seperti Amerika Syarikat yang menghalalkan pengguguran melihatnya sebagai satu langkah menghormati hak-hak reproduktif wanita.
Wanita dikatakan berhak memilih sama ada mahu hamil atau tidak dan perlu diberikan kebebasan sepenuhnya tanpa diskriminasi melakukan pengguguran sekiranya beliau tidak mahu meneruskan kehamilan tersebut.
Sekiranya, terdapat wanita di negara ini yang berpaksikan ke arah menghalalkan cara itu, sudah tentu kaedah ini dilakukan oleh mereka dengan sewenang-wenangnya untuk menggugurkan janin yang dikandung.
``Apa yang membimbangkan ialah terdapat ubat-ubatan yang boleh didapati dengan mudah untuk menggugurkan janin di peringkat awal kehamilan dengan bantuan pengamal perubatan yang kurang beretika dan menghormati undang-undang,'' katanya.
Beliau berkata, menggugurkan kandungan yang berusia melebihi lima bulan adalah berbahaya tambahan pula di sisi agama ia dilihat sebagai satu `pembunuhan' sekiranya dilakukan dengan sengaja kerana janin pada peringkat ini telah berkembang pertumbuhannya.
``Mentaliti masyarakat kita pada hari ini ialah mereka melihat dan merasakan janin yang dikandung itu masih belum dianggap sebagai `manusia' kerana ia belum lagi bernyawa.
Kecintaan
``Sekiranya ramai yang beranggapan begini musnahlah rasa kecintaan sesama manusia kerana tidak melihat nilai yang tinggi terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan Tuhan,'' katanya.
Beliau menambah, wanita yang pernah menggugurkan kandungan, lebih mudah untuk menggugurkan kandungan yang akan datang sekiranya ingin berbuat demikian.
Apabila diminta statistik secara khusus mengenai golongan yang melakukan pengguguran haram di negara ini, Harlina Halizah memberitahu, sukar mendapatkan catatan statistik yang menunjukkan peratusan mengenai hal tersebut sekalipun dilakukan secara sah atas sebab-sebab tertentu.
Tetapi berdasarkan pengalaman, beliau mendapati ramai suami dan isteri daripada keluarga yang berpendapatan pertengahan dan suami isteri yang berusia muda termasuk dalam kategori mereka yang melakukan pengguguran.
``Saya melihat mereka ini kurang mempunyai pengetahuan dari sudut kesihatan dan pengetahuan umum dan tidak ada informasi mengenai merancang keluarga yang betul.
``Gaya hidup pasangan muda yang tidak begitu jelas mengapa mereka perlu berkahwin, tidak mempunyai matlamat dalam perkahwinan, menganggap mempunyai anak adalah menyusahkan dan gaya hidup yang tiada pegangan keagamaan menjadi faktor pengguguran berlaku.
Kesempitan
``Pada masa yang sama, kesempitan kewangan dan hanya sekadar mencari keseronokan turut menjadi punca mengapa mereka melakukan pengguguran sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan masalah tidak mahu memiliki anak, tambahan suami juga menggalakkan mereka berbuat demikian,'' katanya.
Harlina Halizah berkata, dalam apa jua keadaan, pasangan perlu menyesuaikan diri untuk belajar menyelesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi dan tidak menganggap mempunyai anak sebagai satu yang membebankan.
Manakala dalam keadaan kaedah perubatan yang maju sekarang, kaedah penyaringan menerusi pemeriksaan ultrasound boleh dilakukan dalam menentukan sama ada janin yang dikandung normal atau tidak.
``Kalau janin itu hanya mengalami sumbing atau disahkan mengalami Sindrom Down (keabnormalan pada kromosom 21), kita tidak sesekali menyarankan kandungan itu digugurkan,'' katanya.
Beliau memberitahu, sepatutnya semua kehamilan perlu `dikehendaki' dan dirancang. Sikap keprihatinan ini dianggap sebahagian daripada ciri keibubapaan yang bertanggungjawab.
Perkembangan anak-anak yang lahir daripada kehamilan yang dirancang dan dikehendaki adalah jauh lebih mantap dan positif jika dibandingkan dengan mereka yang dikandung secara tidak dirancang.
``Sebenarnya setiap ibu yang menggugurkan janin mereka pasti akan menerima kesan emosi selepas setiap pengguguran dilakukan walaupun ramai di kalangan mereka cuba menafikan perasaan berkenaan.
``Pasti jauh di sudut hati mereka timbul perasaan sedikit bersalah dan terkilan kerana pada masa lalu mereka pernah melakukan sesuatu ke atas janin sendiri,'' katanya.




No comments:

Post a Comment